Tengku Amir Shah Sempurnakan Larian Obor KL2017 Di Selangor 

Tarikh kemaskini: 05/08/2017

SHAH ALAM, 5 Ogos (Bernama) -- Larian Obor Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para Asean Kesembilan melabuhkan tirainya di negeri ini hari ini dengan penyertaan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Baginda memulakan larian Kuala Lumpur 2017 (KL2017) sejauh kira-kira satu kilometer dengan membawa obor berkenaan dari Kampus Universiti Selangor pada kira-kira 4.30 petang sebelum tiba 45 minit kemudian di pentas utama program FitMalaysia Selangor 2017 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini.

Tengku Amir Shah kemudian menyerahkan obor itu kepada Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin.

Baginda turut melepaskan peserta FitMalaysia bagi acara larian sejauh lima km dan 10km serta peserta berbasikal bagi acara sejauh 10km dan 30km.

Larian Obor KL2017 peringkat Selangor bermula 31 Julai lalu.

Pada majlis hari ini, Tengku Amir Shah turut disertai kekandanya, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Dalam ucapannya, Khairy berkata kontinjen Malaysia dibarisi atlet berwibawa yang mampu meraih gelaran juara keseluruhan KL2017 buat negara.

-- BERNAMA