Venue Sukan SEA Di MITEC Siap Sedia 8 Ogos - Khairy 

Tarikh kemaskini: 01/08/2017


KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Venue Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 untuk pelbagai jenis sukan di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) sudah 98 peratus siap dan dijangka lengkap sepenuhnya pada Selasa (8 Ogos).

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang ditemui ketika mengadakan lawatan venue bagi lapan jenis sukan KL2017 mengesahkan dua peratus lagi hanya melibatkan proses kerja hiasan dan memasukkan peralatan teknikal.

"Seperti yang media lihat hari ini, MITEC semakin hampir selesai dari segi tempat duduk orang awam dan gelanggang perlawanan...kebanyakan jenis sukan telah tersedia. Cuma tinggal nak memantapkan lagi dari segi hiasan dan juga aspek keselamatan.

"Mesin scan serta beberapa lagi jenis mesin keselamatan akan dimasukkan dalam tempoh masa seminggu ini dan saya jangkakan MITEC akan selesai sepenuhnya pada 8 haribulan ini apabila dirasmikan oleh perdana menteri nanti," katanya.

Turut serta mengadakan lawatan ke venue itu ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed untuk meninjau kemudahan bagi acara tinju, lawan pedang, gimnastik, hoki (tertutup), muay thai, ping pong, bola tampar dan angkat berat.

Mengulas lanjut kemudahan venue itu, Khairy berkata ada beberapa persatuan seperti tinju, gimnastik (gimrama), lawan pedang dan ping pong telah memulakan latihan mereka di MITEC bermula hari ini seperti yang dijanjikannya sebelum ini.

Beliau bagaimanapun yakin kesemua venue lain di MITEC akan dibuka sepenuhnya kepada kontinjen negara ke Sukan SEA pada 8 Ogos ini.

Dalam perkembangaan lain, Khairy berharap atlet negara dijauhi daripada segala kecederaan yang boleh mengganggu prestasi dan pencapaian mereka di Sukan SEA nanti.

"Ramai atlet masih berada di luar negara, sedang berlatih dan juga bertanding. Saya berpuas hati dengan persiapan atlet setakat ini dan kita dapati bahawa ramai daripada atlet sudah pun menunjukkan prestasi yang baik dari segi rekod baharu kebangsaan dan sebagainya," katanya.

-- BERNAMA